Selasa, 26 Ogos 2008

DESA UKIRAN KAYU



1. PENGENALAN

1.1. Desa Ukiran Kayu (DUK) Istana Tengku Long, Besut Terengganu merupakan sebuah Institusi latihan yang menawarkan skim latihan dan pengajian berteraskan pendidikan vokasional keusahawanan ukiran kayu.

1.2. Kerangka Modul @ kurikulum yang akan ditawarkan kepada peserta itu nanti adalah terdiri daripada 80% daripada aspek kemahiran ukiran kayu dan 20% aspek pengurusan keusahawanan & perniagaan.

1.3. Matlamat daripada program ini adalah pada dasarnya untuk melahirkan keperluan tenaga mahir ukiran kayu dan membentuk golongan seni ukiran berteraskan budaya keusahawanan.
2.0 OBJEKTIF PROGRAM

2.1. Ke arah membangun usahawan kraf ukiran kayu bagi melahirkan tenaga mahir dikalangan pengukir yang berteraskan kepada budaya keusahawanan yang dapat menyesuaikan nilai kraf ukiran dengan keperluan pasaran dengan berpaksi dengan daya keusahawanan dan kemahiran pengurusan perniagaan.

2.2. Menyediakan para pelatih sebagai tenaga terlatih dan mahir dalam bidang ukiran kayu dan pertukangan yang relevan, fleksibel, cekap, dinamik, dan bermoral yang akan mampu menyumbang kepada pembangunan kraf ukiran negeri dan negara amnya.

3.0 FAKTOR PENUBUHAN DUK

3.1 Sejarah dan warisan Kg. Raja sebagai kawasan penempatan raja, terdiri daripada dua buah bangunan istana dan masjid yang dibina pada tahun 1875 oleh Tengku Chik Haji, raja Besut ke-4. Kediaman yang dikenali dengan nama Istana Tengku Anjang dan masjid lama masih berada di tapak asalnya manakala Istana Tengku Kembang telahpun dipindahkan ke Muzium Negeri Terengganu.

3.2 Lahirnya ramai tokoh pengukir-pengukir kayu yang mahir di Besut diantaranya ialah Haji Wan Su bin Othman, Tokoh Seni Negara 1997 dan anak beliau Wan Mustafa bin Wan Su, Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003 yang menubuhkan Balai Seni Ukir Wan Mustafa Su atau dulu dikenali sebagai Bengkel Seni Ukir Wan Su, Tengku Ibrahim bin Tengku Wok, Tokoh Kraf Negara 1998, Allahyarham Hj. Abdul Rahman Long yang menubuhkan Pakatan Seni Ukir Tradisional dan Encik Norhaiza Nordin yang mengusahakan Bengkel Seni Ukir Bakawali.

3.3 Peranan NGO dan kepimpinan politik seperti Majlis Kebudayaan Daerah Besut yang memainkan peranan ke arah menjadikan kawasan yang bersejarah ini dipelihara dan dibangunkan. Usaha ini mendapat sokongan yang kuat YAB Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia 1994-1999. Hasilnya pada 12 Ogos 1999 telah diisytiharkan Besut Daerah Ukiran Kayu oleh YB Dato’ Kadir Syeikh Fadzir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar pada ketika itu.

Tiada ulasan: