Isnin, 15 Disember 2014

TOKOH PENGUKIR BESUT - ADIGURU NORHAIZA BIN NOORDIN

Encik Norhaiza Noordin lahir pada 20 Februari 1963 di Kampung Raja, Besut, Terengganu.

Berdasarkan minat yang mendalam dalam bidang ukiran kayu, beliau telah berguru dengan enam orang pengukir kayu tersohor di negeri Terengganu dan Kelantan iaitu Allahyarham Wan Su, Wan Mustafa Wan Su, Allahyarham Tengku Ibrahim, Allahyarham Rahman Long, Latif Long dan Allahyarham Nik Rashiddin.

Beliau bermula dengan belajar ukiran asas pada tahun 1984 di Balai Seni Ukir Wan Su selama 6 bulan. Kemudiannya beliau mempelajari ukiran seni halus (ulu keris dan senjata tradisional Melayu) dengan Tokoh Seni Negara iaitu YM Tengku Ibrahim bin Tengku Wook selama 6 tahum. 

Pada tahun 1990, beliau terus mendalami kemahiran teknik ukiran dengan Abdul Rahman bin Long dan Latif bin Long di Pengkalan Nyireh, Besut. Bagi melengkapkan lagi ilmu kemahirannya, pada tahun 1992 hingga tahun 2002 beliau belajar falsafah seni ukir Melayu dan teknik ukiran hulu keris dengan Nik Rashiddin bin Nik Hussein.

Hasil kerja keras beliau lahirlah syarikat Seni Ukir Bakawali, Bakawali House of Art, Tunjang Bakawali  dan Norhaiza Noordin Gallery.

Antara hasil kerja yang dihasilkan oleh bengkel beliau adalah hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu, Taman Lagenda Langkawi, Masjid Mukah Sarawak, Istana Melawati, Petra Jaya, ukiran Ayat Qursi di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Arca Sirih Junjung di Bank Negara serta Pintu Gerbang serta ukiran di Rumah Bujang Desa Ukiran Kayu Besut.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang ukiran kayu, beliau juga telah melakukan beberapa kajian berkaitan seni ukiran kayu, menghasilkan buku dan berpuluh-puluh kertas kerja serta menyertai pameran-pameran di dalam dan luar negara. Ini termasuklah pameran 'Spirit of Wood' di Asia Civilization Museum di Singapore, Brunei Gallery dan Universiti of London, UK pada tahun 2003 dan 2004. Antara buku yang dihasilkan beliau adalah 'Ukiran Melayu Warisan Melayu (bersama Kraftangan Malaysia) dan Spirit of Wood, The Art of Malay Woodcarving.

Beliau merupakan Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR) bermula tahun 2010. Beliau juga dipertanggungjawabkan sebagai mentor (Ukiran Kayu) oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan bermula tahun 2009.

Beliau menerima pengiktirafan dari pelbagai pihak yang menghargai bakat dan jasa beliau dalam memartabatkan seni ukiran kayu tradisional ini. Antaranya Anugerah Seni Negeri Terengganu Kategori Karyawan Seni (Tampak) 2005, Anugerah Usahawan Kraf IKS 2009, Adiguru Kraf  oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Anugerah Usahawan Terengganu 2013, Kategori Pelancongan, Kraf dan Warisan dan perlantikan sebagai Residen Adiguru Kraf (Ukiran Kayu) di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Maysia.






Isnin, 8 Disember 2014

TOKOH PENGUKIR BESUT - ABD.RAHMAN BIN LONG

Allahyarham Abdul Rahman bin Long yang dikenali dengan nama Che Man Ukir dilahirkan di Kampung Cawat, Kuala Besut pada tahun 1941 dan telah meninggal pada 25 Mei 2005.

Beliau telah membuat kerjatangan daripada kayu, tempurung dan tanduk sejak masih kanak-kanak dan mempelajari ilmu ukiran kayu daripada bapa beliau iaitu Che Long bin Yusof.

Beliau telah membuka bengkel Pakatan Jurukir Tradisional di Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1975 dan sebuah lagi bengkel di Kampung Sentosa, Pengkalan Nyireh, Besut pada tahun 1984.

Antara hasil ukiran beliau ialah hiasan dalaman Istana Kayangan Shah Alam, Istana Negara Kuala Lumpur, Masjid Annur Woodland di Singapura, Istana Arau, Perlis, Masjid Negeri Pulau Pinang, Istana Melawati dan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Kebolehan dan jasa beliau diakui oleh semua orang yang mengenali beliau termasuk pembesar-pembesar negeri. Ini terbukti dengan penganugerahan pngat P.J.K yang telah diterima oleh beliau.

Isnin, 1 Disember 2014

TOKOH PENGUKIR BESUT - CHE LONG YUSOF

Che Long Yusof dilahirkan pada tahun 1868 di Besut, Terengganu dan telah meninggal pada tahun 1962. 

Beliau merupakan penggiat seni yang aktif dan dikenali sebagai pengukir turun temurun. Kemahiran keluarganya tidak terhad kepada ukiran sahaja tetapi juga meliputi pembinaan rumah berhias, istana dan perabot. 

Hasil kerja beliau dapat dilihat di Istana Sultan Abu Bakar, Johor dan Istana Tengku Long, Kampung Raja, Terengganu serta turut menghasilkan mimbar masjid, perahu, pintu, panel-panel hiasan dinding, keris dan senjata tradisional Melayu.

Banya usaha dicurahkan untuk memastikan keturunan beliau terus menyumbang dalam bidang ukiran kayu tradisional Melayu. Bakat seninya telah diwariskan kepada anak-anaknya iaitu Abdul Rahman Long, Mohd Nor Long dan Abd Latif Long.

Rabu, 26 November 2014

TOKOH PENGUKIR BESUT - ADIGURU HJ WAN MUSTAFA WAN SU

Wan Mustafa bin Wan Su dilahirkan pada 5 Mei 1939. Beliau adalah anak kepada pengukir tersohor tanahair iaitu Wan Su bin Wan Othman.

Wan Mustafa atau Wanpo yang mula melibatkan diri dalam bidang ukiran sejak tahun 1969 telah didedahkan dengan ilmu ukiran kayu di Balai Seni Wan Su milik bapanya, malah beliau telah menerima kepercayaan untuk meneruskan usaha dalam bidang ukiran kayu dengan penyerahan bengkel tersebut kepada beliau. Kini, bengkel itu dikenali dengan nama Balai Seni Wanpo.

Hasil ukiran tangan Wanpo boleh dilihat pada bangunan-bangunan pejabat, muzium, dan masjid seperti Istana Maziah Terengganu, Istana Melawati Putrajaya, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid KLIA, Universiti Teknologi Malaysia, Masjid Ulul Albab Jerteh, Besut serta banyak lagi.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melantik beliau sebagai seorang pengkaji istilah bahasa bagi bidang ukiran kayu berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau.

Wanpo juga telah dilantik sebagai mentor bagi Program Seni Kraf Warisan oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) khusus untuk memberi latihan dan bimbingan kepada belia rakyat Terengganu dalam ukiran kayu.

Bagi menghargai usaha dan kegigihan beliau yang telah menjadi kebanggan negeri ini, pada tahun 2002 beliau telah dianugerahkan Tokoh Seni Negeri Terengganu. Pada tahun 2007 pula beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan Anugerah Karyawan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Isnin, 17 November 2014

TOKOH PENGUKIR BESUT - ADIGURU WAN SU OTHMAN

Dari alam luas terbentang
Ilham dipetik sangat cemerlang
Bakat pengukir bukan kepalang
Seni lama kekal gemilang

Haji Wan Su bin Wan Othman dilahirkan pada tahun 1900 di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan. Beliau telah berhijrah ke Kampung Raja, Besut pada tahun 1947.

Haji Wan Su mewarisi bakat seni datuk saudaranya Nik Ismail, seorang pengukir di istana Pattani. Pada awalnya beliau membuat kerja-kerja tangan seperti replika perahu layar, wayang kulit dan wau cantik. Hasil karya beliau sering mendapat sambutan dikalangan peminat seni bukan sahaja di Malaysia malah sehingga England, Kanada dan Australia dan sering memenangi pertandingan yang disertainya. 

Beliau menubuhkan Balai Seni Ukir Wan Su yang terletak di Kampung Alur Lintang, Besut. Syarikat ini ditubuhkan hasil bantuan Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Usaha Desa Terengganu pada Februari 1976.

Di antara hasil kerja beliau adalah Pintu Utama Muzium Negara, Dewan Santapan Istana Selangor, Mimbar Masjid Kg. Alur Lintang Besut, Pintu Besar Istana Badariah Kuala Terengganu, Pentas Panca Persada Istana Maziah Kuala Terengganu dan Pintu serta Pentas Santapan Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Menghargai bakat dan hasil usaha beliau dalam memartabatkan seni warisan Melayu Wan Su telah di anugerahkan Tokoh Adiguru Kraf bidang seni ukiran kayu oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 1988, Tokoh Budaya ASEAN di Brunei pada tahun 1993 dan Anugerah Seniman Negara 1997.

Haji Wan Su telah meninggal dunia pada 15 September 2011.

Selasa, 7 Oktober 2014

Majlis Sambutan Aidil Adha Peringkat Parlimen Besut 1435h

Pada 5 Oktober 2014 bersamaan 10 Zulhijjah 1435h, Desa Ukiran Kayu telah dipilih sebagai tempat sambutan Aidil Adha buat kali kedua oleh Parlimen Besut. Majlis yang bermula dari jam 10.00 pagi sehingga 3.00 petang menerima kunjungan dari ramai penduduk sekitar daerah Besut yang tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan pemimpin-pemimpin serta sahabat taulan mereka.


Majlis turut diserikan dengan alunan muzik tradisional serta dendangan lagu sebagai halwa telinga, disamping ucapan daripada Ahli Parlimen Besut dan beberapa pemimpin masyarakat.

Kami mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Ahli Parlimen Besut YB Dato' Seri Haji Idris Jusoh dan isteri serta ADUN Kota Putera dan ADUN Kuala Besut yang sudi datang ke tempat kami ini.

Rabu, 17 September 2014

Lawatan Exco Usahawan Terengganu 2014

Pada 7 September 2014 yang lalu, Desa Ukiran Kayu telah menerima kunjungan dari Y.B Rosli bin Daud, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Terengganu yang turut disertai oleh ahli-ahli sekretariat Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.

Sesi Lawatan bermula jam 2.15 petang sehingga 3.30 petang. Ahli Rombongan dibawa melawat Galeri Produk yang menempatkan pelbagai produk hasil tangan pengukir-pengukir tersohor di daerah Besut iaitu En. Norhaiza Noordin, Hj. Wan Mustafa Wan Su, Allahyarham Wan Su Othman, Allahyarham Y.M Tengku Ibrahim dan Allahyarham Abdul Rahman Long. Rombongan juga telah dibawa melihat hasil ukiran pelatih-pelatih DUK dan berpeluang melihat demonstrasi ukiran oleh bekas pelatih.

Desa Ukiran Kayu dengan ini merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian Y.B Tuan Pengerusi melawat tempat kami. Terima kasih tidak terhingga juga kepada En. Norhaiza Noordin yang turut hadir bagi menyambut rombongan ini.