Isnin, 15 Disember 2014

TOKOH PENGUKIR BESUT - ADIGURU NORHAIZA BIN NOORDIN

Encik Norhaiza Noordin lahir pada 20 Februari 1963 di Kampung Raja, Besut, Terengganu.

Berdasarkan minat yang mendalam dalam bidang ukiran kayu, beliau telah berguru dengan enam orang pengukir kayu tersohor di negeri Terengganu dan Kelantan iaitu Allahyarham Wan Su, Wan Mustafa Wan Su, Allahyarham Tengku Ibrahim, Allahyarham Rahman Long, Latif Long dan Allahyarham Nik Rashiddin.

Beliau bermula dengan belajar ukiran asas pada tahun 1984 di Balai Seni Ukir Wan Su selama 6 bulan. Kemudiannya beliau mempelajari ukiran seni halus (ulu keris dan senjata tradisional Melayu) dengan Tokoh Seni Negara iaitu YM Tengku Ibrahim bin Tengku Wook selama 6 tahum. 

Pada tahun 1990, beliau terus mendalami kemahiran teknik ukiran dengan Abdul Rahman bin Long dan Latif bin Long di Pengkalan Nyireh, Besut. Bagi melengkapkan lagi ilmu kemahirannya, pada tahun 1992 hingga tahun 2002 beliau belajar falsafah seni ukir Melayu dan teknik ukiran hulu keris dengan Nik Rashiddin bin Nik Hussein.

Hasil kerja keras beliau lahirlah syarikat Seni Ukir Bakawali, Bakawali House of Art, Tunjang Bakawali  dan Norhaiza Noordin Gallery.

Antara hasil kerja yang dihasilkan oleh bengkel beliau adalah hiasan dalaman Muzium Negeri Terengganu, Taman Lagenda Langkawi, Masjid Mukah Sarawak, Istana Melawati, Petra Jaya, ukiran Ayat Qursi di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Arca Sirih Junjung di Bank Negara serta Pintu Gerbang serta ukiran di Rumah Bujang Desa Ukiran Kayu Besut.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang ukiran kayu, beliau juga telah melakukan beberapa kajian berkaitan seni ukiran kayu, menghasilkan buku dan berpuluh-puluh kertas kerja serta menyertai pameran-pameran di dalam dan luar negara. Ini termasuklah pameran 'Spirit of Wood' di Asia Civilization Museum di Singapore, Brunei Gallery dan Universiti of London, UK pada tahun 2003 dan 2004. Antara buku yang dihasilkan beliau adalah 'Ukiran Melayu Warisan Melayu (bersama Kraftangan Malaysia) dan Spirit of Wood, The Art of Malay Woodcarving.

Beliau merupakan Yang Dipertua Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR) bermula tahun 2010. Beliau juga dipertanggungjawabkan sebagai mentor (Ukiran Kayu) oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan bermula tahun 2009.

Beliau menerima pengiktirafan dari pelbagai pihak yang menghargai bakat dan jasa beliau dalam memartabatkan seni ukiran kayu tradisional ini. Antaranya Anugerah Seni Negeri Terengganu Kategori Karyawan Seni (Tampak) 2005, Anugerah Usahawan Kraf IKS 2009, Adiguru Kraf  oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Anugerah Usahawan Terengganu 2013, Kategori Pelancongan, Kraf dan Warisan dan perlantikan sebagai Residen Adiguru Kraf (Ukiran Kayu) di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Maysia.






Tiada ulasan: