Ahad, 22 Februari 2015

TOKOH PENGUKIR BESUT - ADIGURU YM TENGKU IBRAHIM BIN TG WOOK

YM Tengku Ibrahim dilahirkan pada tahun 1929 di Kota Bharu, Kelantan dan menetap di Kg. Gong Kemuntong, Besut, Terengganu.

Beliau mula mempelajari ukiran kayu ketika berusia 16 tahun dengan ayahnya yang juga merupakan pengukir yang masyhur. Beliau bermula dengan mengukir bahan-bahan yang mudah seperti tingkap rumah dan kepala katil. Setelah berguru dengan lebih mendalam beliau mula mengukir barang-barang halus seperti ulu keris dan sarung keris.

Selepas beberapa tahun mengukir secara kecil-kecilan, Tengku Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Ku membuka bengkel di belakang rumah bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat. 

Kepakaran Ayah Ku dalam seni ukiran halus senjata tradisional amat tersohor. Beliau juga mempunyai kemahiran merekacipta peralatan mengukir seperti pahat, set menebuk lubang, semawar serta mesin menajamkan pahat.

Penghasilan ukiran beliau mendapat tempat di agensi-agensi kerajaan seperti di Jabatan Perdana Menteri, Muzium Kelantan, Muzium Terengganu, Muzium Negeri Pahang dan kerajaan Brunei Darussalam.

Beliau turut mengajar penduduk setempat mengukir semenjak tahun 1970 hingga 1985. Malah beliau juga diberi kepercayaan untuk mengajar belia-belia di bawah IRDA dan pelatih-pelatih di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

YM Tengku Ibrahim juga turut melibatkan diri dalam kajian dan penyelidikan bersama penyelidik terutamanya pengembangan peristilahan serta penghasilan buku. Antaranya ialah buku 'Craft of Malaysia' hasilan Datuk Sri Marina dan buku 'Rupa dan Jiwa' hasil tulisan Syed Ahmad Jamal.

Beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Ukiran Halus pada tahun 1995 dan diiktiraf sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 1998 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Belua meninggal dunia pada tahun 2000.


Tiada ulasan: