Rabu, 9 September 2015

FIESTA UKIR & MAKAN TRADISIONAL BESUT 2015

PENGANUGERAHAN TOKOH KHAS: PENGUKIR SEPANJANG ZAMAN

PENERIMA: ENCIK ABDUL LATIFF BIN LONG

Sempena Fiesta Ukir dan Makan Besut 2015, Encik Abdul Latiff Long dari Kelantan Wood Carving telah dianugerahkan sebagai penerima Tokoh Khas: Pengukir Sepanjang zaman.

Beliau telah menerima Tengkolok sebagai simbol semangat pengukir-pengukir di Malaysia yang melambangkan kedudukan yang tinggi dan dimuliakan oleh masyarakat. Tengkolok ini diperbuat daripada kain kapas dan dihiasi dengan corak telepok bermotifkan ketam guri pecah lima.

LATARBELAKANG

Encik Abdul Latiff Long memulakan kerjaya pengukir dengan membuka bengkel kecil di laman rumahnya di Pengkalan Chepa, Kelantan. Ketika berumur 17 tahun beliau mula membuat kajian Sarong Keris dan Ulu Senjata Melayu di merata-rata tempat. Kebolehan beliau dalam bidang ukiran kayu tiada tandingan. Keunikan ukiran beliau ialah corak Bunga Lada Hitam pada Mimbar serta teknik ukiran Tebuk Timbul Bersilat.
Beliau boleh mengukir pelbagai jenis ukiran seperti Singahsana Istana, mimbar masjid, rumah tradisional melayu, sarong keris, ukiran pintu, siling dan dinding.

 PENGIKTIRAFAN DAN PENCAPAIAN

Beliau mendapat pengiktirafan semasa membuat Singahsana Istana Negara, Kuala Lumpur iaitu pingat Pertabalan DYMM (SPB) Yang Di Pertuan Agong ke VII iaitu Sultan Hj. Ahmad Shah Pahang pada 06 Oktober 1980.
Antara hasil kerja beliau adalah ukiran di dinding dan bangunan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan.  Bagi memperkembangkan lagi industri  ukiran kayu di peringkat global beliau telah mengesyorkan kepada Datok Yaakob Latif iaitu Datok Bandar Kuala Lumpur supaya dibentangkan dalam sidang parlimen untuk memartabatkan lagi industri ukiran kayu tersebut.
Menghasilkan beberapa buah buku untuk didokumentasikan sebagai rujukan kepada agensi – agensi kerajaan, swasta khususnya untuk arkitek, penuntut – penuntut IPTA dan IPTS. Contohnya buku Jenis Bunga Melayu.

SUMBANGAN DALAM PEMBANGUNAN INDUSTRI KRAF NEGARA
- Pernah menjadi guru pengukir Lembaga Kraftangan Malaysia, Temerloh pada 01.04.1975.
- Panel Penasihat Lembaga Kraftangan Malaysia tahun 1974
- Penasihat Persatuan Arkitek Malaysia

Tiada ulasan: