Rabu, 14 Februari 2018

PENUBUHAN DESA UKIRAN KAYU

LATAR BELAKANG PENUBUHAN

1. Tempat Warisan / Sejarah

Tepi Sungai Besut di Kampung Raja merupakan tapak istana Raja Besut iaitu Tengku Chik Haji yang dibina pada tahun 1875. Tapak ini terdiri daripada dua buah istana dan sebuah masjid merupakan penempatan baru Raja Besut yang sebelumnya di Kampung Palembang. 
Sehingga kini, Istana Tengku Anjang masih berdiri berhadapan Desa Ukiran Kayu, manakala Istana Tengku Long telah dibuka dan dipasang semula di Muzium Terengganu.

2. Ramai Tokoh Pengukir dari Besut

Besut telah melahirkan ramai tokoh-tokoh pengukir tersohor termasuklah Che Long Yusuf, Wan Su Othman, Ab. Rahman Long, Ab. Latif Long, Wan Mustafa Wan Su, Tengku Ibrahim Tengku Wook, Norhaiza Noordin dan Mohd Salizan Ab. Rahman.
Mereka ini telah menerima banyak pengiktirafan dimana Wan Su Othman -Tokoh Seni Negara 1997, Tengku Ibrahim Tengku Wook -Tokoh Kraf Negara 1998, Wan Mustafa Wan Su -Adiguru Kraf 2007 dan Norhaiza Noordin -Adiguru Kraf 2012

3. Penglibatan Ahli Politik dan Badan NGO

Pada tahun 1996, Dato' Seri Idris bin Jusoh, Ahli Parlimen Besut yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia telah mencetuskan idea penubuhan Kompleks Warisan sebagai pusat pelancongan. Majlis Kebudayaan Daerah Besut kemudiannya telah mengambil peranan untuk merealisasikan idea ini.

4. Penubuhan Pusat Latihan

Pada tahun 1998, sebuah pusat latihan ukiran kayu ditubuhkan di bawah program Kemajuan Kraftangan di sebuah chalet di Bukit Keluang, Besut. Seramai 14 orang peserta terlibat dan tenaga pengajar ialah YM Tengku Ibrahim bin Tengku Wook.

5. Pengisytiharan 'Besut Daerah Seni Ukiran Kayu'

Pada 12 April 1999, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Y.B. Datuk Kadir Sheikh Fadhil telah mengistiharkan daerah Besut sebagai Daerah Seni Ukiran Kayu. Pengistiharan telah dibuat di tapak Desa Ukiran Kayu sekarang. Pengambilan tanah untuk tapak projek mula dilaksanakan.














Walaubagaimanapun perubahan politik negeri Terengganu menyebabkan projek ini tertangguh dan hanya dapat dimulakan pada tahun 1 September 2005 dan siap pada 1 Februari 2007. Desa Ukiran Kayu memulakan operasi pada 1 Januari 2008 dan dirasmikan pada 21 Februari 2008.
Sehingga 2017 seramai 105 orang pelatih telah mengikuti latihan di Desa Ukiran Kayu dan sebahagian daripada mereka telahpun bekerja dengan bengkel kayu dan ada juga yang menceburi bidang keusahawanan ukiran kayu.


Tiada ulasan: