Rabu, 15 Disember 2010

Sejarah Daerah Besut - Besut di bawah pemerintahan British dan Jepun

Berikutan kemangkatan Tengku Ngah, Besut ditadbir oleh Pesuruhjaya iaitu wakil kepada Sultan di Kuala Terengganu. Bermula dari sini, kedudukan Besut sebagai sebuah negeri telah berakhir. Sultan telah melantik Tengku Long atau gelarannya Tengku Seri Indera Segera sebagai Pesuruhjaya Besut. Kemangkatan Tengku Long pada 1909 telah menyebabkan Besut ditadbir secara terus oleh Terengganu. Setelah berlaku Perjanjian Bangkok pada 1909 antara British dengan Siam, negeri-negeri utara Persekutuan Tanah Melayu jatuh sebagai tanah jajahan British. Sebagai sebuah daerah dalam Terengganu, Besut turut menerima perubahan dimana Kerajaan British menghantar Penasihat kepada Sultan dalam segala urusan pentadbiran kecuali adat resam dan agama Islam.

Pada tahun 1910, kebakaran besar telah berlaku dan memusnahkan sama sekali Kota Palembang. Ini menyebabkan penduduk-penduduk berpindah ke Kampun Raja dan lain-lain kawasan berhampiran. Keturunan raja tidak lagi mempunyai kuasa dan kebanyakannya masih lagi menetap di Kampung Raja sehingga sekarang.

Semasa pemerintahan Jepun, Besut ditadbirkan oleh Wakil Gabenor Jepun di Kuala Terengganu iaitu Mr. Aratake. Sistem Pesuruhjaya masih diteruskan oleh Jepun dimana Tuan Haji Wan Long (Datuk Sangsura Pahlawan) menjadi Pesuruhjaya Besut semasa pemerintahan Jepun. Tuan Haji Wan Long kemudiannya digantikan oleh Tengku Seri Akar. Semasa beliau mentadbir, berlaku penyerahan Besut kepada Siam dan seterusnya kekalahan Jepun. Besut kemudiannya dikembalikan semula di bawah pentadbiran British.

Kerajaan Bristish telah menghapuskan jawatan Pesuruhjaya dan meletakkan Besut di bawah pentadbiran Deputy Resident Commisioner. Orang pertama yang memegang jawatan itu ialah anak tempatan iaitu Encik Abd. Aziz bin Hussin. Hanya tiga orang yang sempat memegang jawatan itu termasuk Dato' Haji Kamaruddin bin Haji Idris yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dari tahun 1947 hingga 1957, pentadbiran Besut diletakkan di bawah Pegawai Pentadbiran (Administrative Officer). Orang pertama memegang jawatan itu ialah Mr. C.C.Mowat dan yang terakhir Encik Ab. Rahman bin Mat.

Selepas itu sistem Pegawai Daerah diperkenalkan bermula dengan seorang Pegawai British bernama Mr. L.M.Edye menjadi Pegawai Daerah Besut yang pertama diikuti oleh Encik Mustafa bin Abdul Jamal. Semasa Encik Mustafa menjadi Pegawai Daerah, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Di Besut, upacara bersejarah ini diadakan di Padang Bola Kampung Raja. Pengisytiharan Kemerdekaan dibaca oleh En. Ismail bin Yusof (Dato' Bentara Luar) seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

sumber: www.pulauperhentian.com.my

Tiada ulasan: