Selasa, 14 Disember 2010

Sejarah Daerah Besut - Besut di bawah Naungan Terengganu

Tengku Kadir yang menjadi Raja pertama Negeri Besut mengambil langkah untuk memperkuatkan kedudukan dan pemerintahannya dengan membina benteng-benteng pertahanan disepanjang Sungai Besut berhampiran Kota Palembang. Beliau kemudian mendirikan penempatan baru di Kampong Raja.

Selepas kemangkatan Tengku Kadir pada 1835, tempatnya telah digantikan oleh putera beliau iaitu Tengku Ali. Semasa pemerintahan Tengku Ali, berlaku pergolakan dalam institusi Beraja Besut di mana telah berlaku peperangan antara Besut dengan Terengganu. Mengikut Tuan Haji Salleh bin Haji Awang dalam buku 'Mengkaji Sejarah Terengganu' peperangan ini dikenali sebagai Peperangan Besut.

Semasa pemerintahan Tengku Ali, sejarah Besut telah menyaksikan pemberontakan beliau terhadap Sultan Omar di Kuala Terengganu. Peristiwa yang berlaku pada 23 Syawal 1292H / 1876M ini berpunca daripada dasar Sultan Omar yang memerintah daerah-daerah secara langsung. Akibat dasar itu, Tengku Ali secara rahsia berusaha mendapat bantuan dari Kelantan untuk menjatuhkan Sultan Omar. Semasa istiadat melantik Tengku Ahmad sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Ali tidak hadir dan Sultan Omar kemudiannya telah menghantar rombongan ke Besut. Mereka mendapati Tengku Ali sedang mengumpulkan pasukan bersejata dari Kelantan untuk menentang Sultan Omar.

Sultan Omar terus menghantar surat bantahan kepada pemerintahan Siam dan Singgora dan memberi amaran supaya kedua-dua kuasa itu tidak campurtangan dalam hal ehwal tanah jajahannya. Baginda menyiapkan 8000 orang tentera diketuai oleh Panglima Besar Orang Kaya Megat Seri Mahkota Raja (Wan Ab.Rahman bin Ali) menyerang Besut melalui laut. Tengku Ali sempat lari ke Kelantan. Selepas peristiwa ini Besut diwakilkan pemerintahannya kepada Tengku Ngah.

Apabila Tengku Ngah memerintah Besut, berlaku perebutan kuasa antara baginda dengan Tengku Muda. Dalam keadaan genting, Tengku Ngah menyerahkan kuasa kepada adiknya Tengku Chik Haji. Tengku Muda berkuasa di Kampung Lampu manakala Tengku Chik Haki di Kampung Raja. Persengketaan ini amat meruncing menyebabkan Sultan Terengganu sendiri datang ke Besut untuk menyelesaikannya.

Sultan Terengganu telah membuat penyelesaian terbaik tentang siapa yang berkuasa dimana Baginda memutuskan Tengku Chik Haji dilantik sebagai Raja disebabkan kedudukan Kampung Raja di timur matahari naik sedangkan Kampung Lampu di barat matahari jatuh.

Perlantikan Tengku Chik Haji sebagai pemerintah Besut telah menyebabkan Besut mendapat kemajuan. Beliau diberikan kuasa raja untuk menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan kesalahan. Hasil yang dipungut tidak lagi menjadi hak mutlak sultan. Beliau juga mengambil berat mengenai pendidikan agama Islam. Di Kampung Palembang didirikan pondok-pondok untuk mengajar agama, wakaf-wakaf, balai polis dan lain-lain. Istana yang pertama dibina pada tahun 1878 dan masih kekal ada hingga sekarang.

Pemerintahan terakhir dalam dinasti beraja Palembang ialah Tengku Ngah. Beliau sangat mengambil berat tentang kebajikan penduduk. Beliau dapat mengekalkan kemajuan dan keamanan Besut sebagaimana sewaktu pemerintahan Tengku Chik Haji. Dikatakan pada waktu itu, wakil Sultan di Kuala Terengganu sering datang untuk memungut hasil dari Besut sebagai perbelanjaan membuat Bunga Emas untuk dihantar ke Siam. Tengku Ngah mangkat pada 1899M setelah memerintah Besut selama kira-kira 19 tahun. Berikutan kemangkatan beliau, Besut dikembalikan kepada Terengganu dan ditadbir oleh Pesuruhjaya iaitu Wakil Sultan. 

Tiada ulasan: