Ahad, 12 Disember 2010

Sejarah Daerah Besut - Asal Usul Besut

Oleh kerana tiada bukti-bukti bertulis mengenai sejarah awal Daerah Besut, maka terdapat berbagai-bagai cerita yang meneramgkan asal usul Besut.

Salah satu cerita mengenai asal nama Besut kononnya berpunca dari zaman dahulu dimana dikatakan daerah ini merupakan sebuah kawasan dibawah kuasa kerajaan Siam. Nama Besut dikatakan berasal dari perkataan dalam bahasa Siam iaitu BE yang bermaksud DAERAH manakala SUT berrmakna KAWASAN YANG PALING JAUH atau PENGHUJUNG.

Satu lagi cerita mengenai asal usul nama Besut ialah berdasarkan cerita kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar Raja Sang Nyanya. Beliau adalah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang mendiami kawasan ini. Setelah kematiannya barulah kawasan ini didiami orang, antaranya sekumpulan penduduk yang terdiri dari orang pangan. Kumpulan Pangan ini diketuai oleh seorang yang bernama BESUT dan dipercayai nama BESUT adalah berasal dari beliau.

Bukti paling awal menyentuh tentang daerah ini cuma sedikit sebagaimana catatan Munsyi Abdullah dalam Pelayaran Abdullah ke Kelantan dari buku Tuhfatul Nafis karangan Raja Ali Haji. Dalam catatan ini diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari Pattani (Selatan Siam) yang datang ke Besut dengan diketuai oleh Cik Latif. Cik Latif dipercayai berasal daripada Sumatera dan telah biasa berdagang ke Pattani. Dengan menawarkan segantang mata kail, beliau berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari kawasan ini dan berpindah ke Hulu Besut. Beliau dan orang-orangnya kemudian telah membina perkampungan di tebing sungai Besut yang diberikan nama Palembang sebagaimana tempat asal beliau di Sumatera. Palembang ini menjadi Pusat Pentadbiran daerah Besut yang pertama.

Apabila Cik Latif meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya iaitu Cik Kamat. Semasa pemerintahan Cik Kamat, daerah Besut berada dalam keadaan huru hara kerana ancaman daripada lanun. Cik Kamat tidak berdaya menentang ancaman lanun-lanun ini dan membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan daripada Terengganu. Sultan Terengganu ketika itu, iaitu Sultan Mansur 1 (1726 - 1793M) yang juga dikenali sebagai Marhum Berjanggut telah bersetuju dengan permohonan Cik Kamat. Baginda menghantar angkatan tentera yang diketuai oleh putera Baginda iaitu Tengku Kadir.

Tengku Kadir dan tenteranya berjaya mengalahkan lanun-lanun tersebut dan memaksa mereka berundur ke Pulau Perhentian.

Sebagai penghargaan diatas kejayaan beliau mengalahkan lanun-lanun, Tengku Kadir telah diberi kuasa oleh Sultan Terengganu untuk memerintah Besut. Cik Kamat pula dilantik sebagai Orang Besar Besut dan diberi hak ke atas Pulau Rhu.

Tiada ulasan: